Wednesday, September 1, 2010

Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Seringkali ibu-ibu baru yang bercadang untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu secara eksklusif akan menghadapi kekangan dan cabaran seperti berikut:
  1. Kita hidup di dalam masyarakat yang menganggap penyusuan susu formula adalah lumrah (perkara biasa) untuk bayi.
  2. Masyarakat sedar penyusuan ibu adalah baik untuk bayi dan ibu tetapi susu formula masih dilihat pilihan yang baik, tambahan pula dalam keadaan penyusuan ibu tidak begitu berjaya.
  3. Ibu-ibu baru tidak mendapat sokongan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang menyokong penyusuan ibu atau yang berjaya dalam penyusuan ibu untuk berkongsi pendapat, pengetahuan dan pengalaman.
  4. Profesional kesihatan seperti doktor dan jururawat menerima penyusuan susu formula adalah penyelesaian kepada masalah penyusuan ibu tanpa memberi nasihat /cadangan bagaimana mengatasi masalah penyusuan ibu yang dialami.
  5. Agensi kerajaan tidak memahami kepentingan penyusuan ibu dan mengapa kerajaan harus memperbanyakkan usaha mempromosikan penyusuan ibu.
  6. Media massa memperoleh pendapatan lumayan daripada pengiklanan susu formula tanpa menghiraukan kesan buruk pengaruhnya kepada masyarakat umum.
  7. Syarikat susu formula membelanjakan wang yang banyak untuk promosi yang ada ketikanya melanggar etika yang digariskan dalam kod etika WHO berkaitan promosi dan pemasaran susu formula.
  8. Pandangan umum mengatakan ibu-ibu tidak perlu merasa “bersalah” sekiranya tidak menyusukan anak mereka dengan susu ibu.

Pendapat umum #1: Kita selalu menganggap jika penyusuan ibu tidak berjaya, penyusuan susu formula adalah pilihan kedua terbaik untuk menyusukan bayi.
Hakikatnya: WHO telah menggariskan secara jelas bahawa susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Pilihan kedua ialah penyusuan susu ibu yang diperah. Jika gagal juga maka pilihan ketiga ialah susu ibu daripada ibu susuan. Jika tidak dapat diperolehi maka barulah susu formula boleh diberikan kepada bayi (pilihan keempat!)

Pendapat umum #2: Profesional perubatan seperti doktor dan jururawat tahu banyak perkara berkaitan penyusuan ibu (atau penyusuan yang sesuai untuk ibu berikan kepada bayinya).
Hakikatnya: Memang semua profesional perubatan menyokong penyusuan ibu kerana agak sukar menafikan kebaikan susu ibu berbanding susu formula. Tambahan pula hampir semua hospital telah menggariskan polisi penyusuan ibu di hospital masing-masing. Namun ramai profesional perubatan tidak dapat membantu ibu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan penyusuan ibu. Ketidakupayaan ini mungkin berpunca daripada pengalamannya sendiri. Pasti sukar memberi nasihat atau galakan kepada ibu-ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sedangkan diri sendiri gagal memberikan susu ibu kepada anaknya. Malah ramai doktor mengakui penyusuan ibu tidak ada di dalam sukatan pelajaran ketika di universiti.

Kenalpasti antara tanda-tanda atau petunjuk seseorang profesional perubatan (doktor/jururawat) menyokong penyusuan ibu:
  • Tidak mempamerkan bahan cetak atau logo mana-mana syarikat pengeluar susu formula di kliniknya termasuk carta pertumbuhan kanak-kanak.
  • Poster, brosur dan maklumat penyusuan ibu dipamerkan di klinik.
  • Menyenaraikan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk oleh ibu-ibu sekiranya menghadapi masalah penyusuan ibu.
  • Tidak menyebarkan brosur atau risalah (walaupun berkaitan penyusuan ibu) daripada syarikat pengeluar susu formula.
  • Tidak memberikan “gift pack” berupa sampel susu formula.
  • Sebelum bersalin, ibu-ibu diberi nasihat dan panduan berkaitan penyusuan ibu dan kepentingan penyusuan ibu pada 1 jam pertama selepas kelahiran.

Kod Antarabangsa Pemasaran Susu Formula (1981).
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak boleh memasarkan secara terus sebarang produk (susu formula, botol atau puting tiruan, dan makanan tambahan) kepada pengguna. Wakil syarikat pengeluar tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka terutamanya di wad bersalin, klinik atau hospital.
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak dibenarkan memberikan sampel percuma atau potongan harga istimewa kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka.
  • Informasi saintifik berkaitan susu formula hanya boleh diberikan kepada profesional perubatan.
  • Informasi berkaitan penyusuan untuk bayi hanya boleh diberikan oleh kerajaan bukannya oleh syarikat pengeluar susu formula.
  • Semua sumbangan derma atau peralatan perubatan daripada syarikat pengeluar susu formula kepada pihak tertentu (klinik / hospital) perlu diumumkan secara terbuka dan tiada keistimewaan boleh diberikan kepada syarikat tersebut kerana sumbangannya itu.
Persoalannya.. adakah kod etika ini dipatuhi sepenuhnya di negara kita??

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman.
http://www.momschoice.com.my/blog/

panduankelahiran

1 comment:

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com