Tuesday, May 14, 2013

Tips Mudah Bersalin


Bersalin adalah proses alami bagi wanita yang hamil. Tentu anda pernah mendengar pelbagai kisah tentang pengalaman bersalin orang lain dan mungkin anda sendiri. Bagaimanakah anda ingin mempermudah proses kelahiran yang bakal anda hadapi nanti ? Di sini, saya ingin berkongsi tips mudah bersalin bersama anda. KitA sekadar berusaha, Allahlah yang menjayakannya.

a) Jaga kesihatan diri dan bayi
Bermula saat anda disahkan hamil, anda perlulah menjaga kesihatan diri dan bayi. Amalkan pemakanan yang seimbang, senaman ringan dan banyakkan minum susu kerana anda akan mengalami sakit gigi akibat kalsium anda yang akan digunakan untuk tumbesaran bayi. Jagalah kebersihan gigi dan diri. Pastikan anda menghadiri temujanji anda dengan jururawat kesihatan setiap bulan. Jangan terlupa untuk mengambil vitamin dan asid folik yang dibekalkan kepada anda setiap hari. Kekurangan asid folik akan menyebabkan tumbesaran bayi kurang sempurna yang boleh menyebabkan kecacatan.

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor jika anda mengalami tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetis, HIV dan sebagainya. Elakkan mengambil ubatan dan herba yang tidak dicadangkan oleh pihak hospital serta makanan dan minuman ringan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada bayi anda. 

b) Posisi tidur yang sama rata
Pastikan anda tidak kerap tidur mengiring sebelah kanan atau kiri sahaja tapi perlu menyamaratakan kekerapannya supaya bayi tidak terperosok ke posisi yang anda biasakan. Sebagai contoh, jika anda kerap tidur mengiring sebelah kanan, maka anak akan terperosok ke sebelah kanan anda. Jika keadaan ini berlarutan, kepala bayi mungkin tersangkut di celah paha dan sukar untuk dilahirkan secara normal.  Ia amat penting pada usia kandungan 7 bulan ke atas.

Jika anda mengurut dengan tangan anda pada bahagian bawah perut bahagian kiri dan kanan, anda akan merasakan salah satu bahagian agak mengeras. Bahagian mengeras itulah kawasan yang didominasi oleh bayi anda. Untuk memulihkannya, banyakkan mengiring ke sebelah bertentangan dan urutan daripada 'bidan berpengalaman' untuk membetulkan posisi bayi adalah digalakkan.

c) Urutan membetulkan posisi bayi
Urutan membetulkan posisi bayi hanya boleh dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman agar tidak mencederakan bayi anda. Jika tiada bidan yang berpengalaman, cukuplah dengan mengerut bahagian betis dan paha bagi membetulkan kedudukan bayi anda. Anda boleh bertanya kepada doktor berkaitan posisi bayi anda ketika melakukan ujian imbasan (ultrasound) ketika usia kandungan lapan bulan.

c)  'bersama' suami
Anda dan pasangan boleh ‘bersama’ sebelum tanda-tanda kelahiran timbul pada tarikh jangkaan kelahiran. Air mani suami mengandungi prostaglandin yang membantu rahim terbuka. Ia juga bertindak sebagai ubat pencetus (induce) yang digunakan untuk membuka pangkal rahim. Anda juga boleh ‘bersama’ sepanjang waktu kehamilan jika tiada komplikasi yang kurang baik kepada ibu dan bayi. Pilihlah posisi yang lebih selesa bagi anda dan pasangan.

d) meminta maaf dan doa
Anda juga digalakkan untuk meminta maaf dengan orang terdekat terutama suami dan ibubapa dan meminta mereka untuk mendoakan keselamatan anda melahirkan bayi. Doa ibubapa adalah antara doa yang cepat dimakbulkan oleh Allah. Selain itu, anda boleh membuat solat hajat atau membuat majlis solat hajat untuk memudahkan kelahiran.

e) buang air kecil dan besar
Anda dinasihatkan untuk membuang air kecil dan besar sebelum bersalin agar bayi dapat dilahirkan dengan mudah. Jika tidak, anda mungkin terbuang air besar ketika meneran nanti. Jururawat juga akan menyedut keluar air kencing anda menggunakan tiub ketika di wad bersalin. Jika anda mengalami masalah sembelit, dapatkan ubat pelawas daripada doktor. Ini kerana, sembelit akan menghalang kepala bayi untuk keluar.

g) mencukur bulu ari-ari
Pastikan juga anda mencukur bersih bulu ari-ari(kemaluan) anda untuk memudahkan jururawat menyambut kelahiran bayi anda. Jika tidak, jururawat akan membantu anda melakukan perkara tersebut. Tapi lebih sopan jika kita bersihkan sendiri.

h) Menggentel puting payudara
Menggentel puting payudara dapat mempercepatkan bukaan servik. Jururawat juga menyarankan anda melakukannya di saat-saat hendak bersalin bagi membantu proses kelahiran.

i) berjalan
Senaman seperti berjalan amat sesuai untuk melonggarkan otot pelvik bagi membantu kelahiran. Berjalanlah sekitar taman permainan atau menaiki tangga setingkat dua di pejabat anda. Jangan jadikan hamil sebagai alasan untuk anda tidak bersenam dan jangan pula bersenam secara berlebihan sehingga anda kepenatan.

j) minum teh
Theanine yang terkandung dalam teh dapat membantu mempercepatkan pembukaan servik. Cukuplah dengan minum secawan teh sehari. Namun, teh yang dicadangkan adalah teh hijau.

k) minyak selusuh dan air selusuh
Selusuh adalah sinonim dengan orang yang akan bersalin. Biasanya, selusuh menggunakan bahan seperti minyak, air, kurma atau kismis. Minyak yang biasa dipakai ialah minyak kelapa dara yang dibuat sendiri, minyak zaitun atau minyak masak biasa. Air yang digunakan sebaiknya air zam-zam, jika tiada anda boleh menggunakan air mineral atau air masak. Jika anda menggunakan kismis dan kurma pula, pastikan bilangannya dalam kiraan yang ganjil iaitu satu, tiga, lima atau tujuh.

Minyak selusuh hanya boleh diminum saat anda sudah sampai masa untuk bersalin sahaja. Sedangkan air selusuh boleh diminum sepanjang masa kehamilan. Ia membantu mempercepatkan kelahiran bayi dengan izin Allah.

1 comment:

  1. Terimakasih sharingnya, pengetahuan bertambah dari sebelumnya. Sungguh sebuah kebaikan bagi kakak penulis. Pacaran Memang Tidak Baik . Jadilah muslimah yang taat, kenakan jilbab karena memakai jilbab merupakan kewajiban seorang muslimah yang ingin lurus di jalan Allah. Tinggalkan pacaran karena tidak sesuai dengan ajaran islam. Ada banyak cara memakai jilbab dan cerita hijrah di website islami. Kutinggalkan dia karena dia. :)

    ReplyDelete

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com